Waktu berjalan begitu pantas. Macam baru semalam si kecil kesayangan baru lahir. Tanpa kita sedari sekarang dia sudah mula mahu mencapai barang dan merangkak. Pergerakan seperti meniarap, berguling dan merangkak sangat penting untuk perkembangan fizikal, kemahiran motor dan minda bayi. Ketahui beberapa cara untuk merangsang bayi merangkak supaya fizikalnya berkembang dengan sihat.

 

1. BIASAKAN BAYI MENIARAP SEAWAL USIA
Sesudah bayi mahir untuk mengawal otot lehernya, biasakan bayi untuk menyiarap dengan perutnya di lantai selama beberapa minit sehari. Sejak beberapa minggu selepas lahir, anda boleh meniarapkan bayi di atas badan sambil kita berbaring.
Waktu meniarap atau ‘tummy time’ boleh dimulakan dalam kuantiti masa yang singkat terlebih dahulu, iaitu sekitar 15-30 saat pada awalnya dan tingkatkan lagi apabila bayi nampak selesa. Bayi juga boleh belajar yang dia kini boleh menendang dan menguakkan tangannya. Fasa ini penting untuk bayi mendapatkan kestabilan dan fleksibiliti badan.
2. BANYAK BERMAIN DENGAN BAYI
Sambil bermain, anda sebenarnya dapat menggalakkan bayi untuk lebih banyak bergerak dan belajar merangkak. Titikberatkan pada pergerakan berguling ke sisi dan bermain sambil berbaring. Berguling ke sisi penting untuk mengurangkan tekanan pada kepala bayi. Selain itu berguling ke sisi kiri dan kanan penting supaya bayi dapat mengubah posisinya dengan kekuatan otot tangan dan kakinya.
Bermain sambil berbaring juga penting untuk melatihnya menendang dan mencapai-capai dengan tangan kecilnya.
3. HADKAN PENGGUNAAN ‘WALKER’
Sudah menjadi lumrah ibu bapa untuk pastikan anak selamat dan senang. Namun begitu, menyekat pergerakannya bukanlah tindakan yang baik. Menurut pakar, dalam satu hari hanya dua jam yang patut diberikan untuk anak duduk di dalam walker. Selebihnya, biarkan anak bermain di lantai lapang.
Masanya di walker atau stroller membuatkan pergerakannya terbatas. Anak tidak dapat berlatih bergerak semaksima mungkin. Berikan kebebasan pada anak untuk menerokai persekitarannya. Hadkan masa penggunaan walker atau baby cot hanya ketika kita mahu tinggalkannya seketika seperti semasa pergi memasak atau mandi.
4. SEDIAKAN RUANG SELAMAT UNTUK BELAJAR MERANGKAK
Untuk menggalakkan bayi merangkak, mainkan peranan dengan memastikan persekitaran anak selamat dan selesa untuknya. Pastikan permukaan lantai bersih dan tidak terlalu licin. Pakaikannya baju dan seluar panjang untuk memudahkan pergerakan.
Jauhi anak dari sumber elektrik dan air. Letak anak jauh daripada tempat berbahaya seperti dapur, tandas atau tangga untuk elakkan kemalangan.
5. HADKAN PERTOLONGAN
Seperti rama-rama yang mahu keluar dari kepompong, sedikit kesungguhan diperlukan untuk mengembangkan sayap indahnya. Begitu juga dengan si kecil. Kita pasti tidak suka lihat anak kita menangis apabila tidak dapat mencapai barang permainannya atau gagal bergerak ke arah kita. Jangan terlalu cepat berasa kasihan lalu mendukungnya atau terus menghulurkan permainan tersebut padanya.

Kita sepatutnya memberikan motivasi padanya misalnya dengan mendekatkan sedikit permainan jika terlalu jauh. Berikan ruang pada bayi untuk berusaha, pasti kita akan terkejut melihat kesungguhan anak untuk dapatkan apa yang dia mahu.

sumber: zuriat.com

————————————————————————————————-

Salam Sayang,
Farihah / Kak Eha
http://wasap.my/+60192622200

5 CARA MERANGSANG DAN MENGAJAR BAYI MERANGKAK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge