Anak meragam waktu malam, kerap terjaga, asyik nak susu. Biasa dengar, semua ni kan? Letih mak nya, esok nak kerja lagi. Aduhai…

Saya pun pernah bangun malam-malam riba anak, tak tau dia nak apa sebenarnya. Berdukung keliling satu rumah. Letih !

Apa kata kita cuba tengok, mungkin ada antara tips di bawah yang mungkin boleh membantu kita 🙂

1. Perhatikan Tanda-tanda Bayi Anda Hendak Tidur

Kenapa ianya penting untuk anda faham dan ‘alert’ apabila bayi anda hendak tidur?

Langkah ini merupakan langkah yang paling penting dan terawal dalam memastikan tidur yang lena sepanjang malam.

Anda mesti pernah mengalami situasi dimana bayi anda terjaga apabila dia baru sahaja hendak tidur. Akibatnya, bayi anda akan merengek dan tidak tidur dengan baik selepas itu.

2. Latih Bayi Anda Dengan Rutin Sebelum Tidur

Antara rutin yang boleh dilatih untuk bayi adalah mandi dengan air suam sebelum tidur.

Mandian ini dapat merehatkan bayi serta dapat membantu bayi anda tidur dengan lebih lena dan selesa. Bedungkan bayi anda selepas mandi. Bedung dengan selesa ya.

Jangan terlalu ketat sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepadanya.

3. Amalkan Sentuhan Magik

Apa yang ‘magic’ tu? Percaya atau tidak, bayi pun perlukan urutan badan sebelum tidur. Kajian dari Universiti Miami melaporkan, bayi dan kanak-kanak yang diurut sebelum tidur selama 15 minit mampu untuk tidur lena tanpa terjaga.

4. Mainkan Bunyi-bunyian Yang Menenangkan

Lagu-lagu yang tenang atau audio bunyi dalam rahim ibu boleh menenangkan dan dapat mengimbaukan kembali bayi anda ketika di dalam rahim anda. Degupan jantung dan darah yang mengalir di dalam badan anda membuatkan bayi anda sudah biasa dengan bunyi-bunyian.

Bagi muslim, alunan zikrullah dan ayat suci al-quran sudah tentu menjadi pilihan utama buat para ibu dan bapa.

5. Buaikan Bayi Anda

Pergerakan buaian atau kerusi tidur bayi boleh membuatkan bayi anda terbuai-buai sehingga tertidur lena. Sebab itu kita selalu lihat bayi diletakkan di dalam buaian jika hendak tidur.

Ayunan buaian dapat meredakan keadaan bayi dan tidak lama selepas itu bayi anda telah lena dibuai mimpi.

6. Elakkan Pengambilan Kafein Bagi Ibu

Kafein bukan sahaja perlu dielak ketika hamil, juga semasa anda menyusukan bayi, anda juga perlu buang senarai minuman berkafein di dalam kepala. Minuman yang mengandungi kafein terdiri dari teh, kopi dan minuman bikarbonat (minuman bergas).

Bayi akan terkesan jika minum susu ibu yang mengandungi kafein. Lebih mengerikan, badan bayi mengambil masa sehingga 97 jam untuk hilangkan kesan kafein dari tubuhnya menyebabkan bayi lebih susah untuk tidur.

7. Makan Waktu Siang

Kekerapan makan di waktu siang mampu membantu tidur yang lena di malam hari. Bayi mempunyai saiz perut yang kecil dan perlu makan dengan kerap. Beri makan atau susukan bayi di waktu siang dengan kerap supaya masa dia tidur waktu siang tidak begitu lama.

Jika bayi anda tidur lebih dari empat jam, anda boleh buka bedungnya dan kejutkan dia dengan lembut. Rutin menyelang-selikan tidur dan makan dapat mengurangkan sedikit sebanyak masalah kerap terjaga malam.

8. Tambah Makanan Bayi Anda Sebelum Tidur

Tambah lagi? Iya. Tidak kira bila kali terakhir anda memberi susu dan makanan kepada anak anda, cuba untuk berikan susu terakhir sebelum anda tidur. Ini membantu bayi dari terjaga kelaparan di waktu malam.

9. Ajarkan Bayi Anda Perbezaan Siang Dan Malam

Pada waktu malam, pastikan lampu sedikit malap berbanding kecerahan di waktu siang. Selain itu, suasana malam sepatutnya lebih sunyi berbanding waktu siang.

Kebiasaan ini dapat membantu bayi anda tidur lena dan lebih lama di waktu malam. Serta tidur lebih singkat di waktu siang.

Semoga membantu ! 🙂

Salam sayang,
Farihah Abu Kasim @ 019 262 2200
FB : Farihah Abu Kasim

9 TIPS TIDURKAN BAYI DENGAN LEBIH LENA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge